
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneruskan projek naik taraf sistem saliran di Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan membina kolam takungan baharu di tapak Kuarters Jururawat Lama Kuching bagi mengurangkan risiko banjir di hospital dan kawasan sekitarnya.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, berkata projek bernilai RM10 juta itu adalah sebahagian daripada usaha tebatan banjir di bawah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak, Pakej 2.
“Kolam takungan ini penting bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda HUS.
“Bagaimanapun, kami juga mengambil kira kepentingan warisan, justeru, sebahagian kuarters lama akan dikekalkan dan dipulihara,” katanya selepas meninjau tapak projek, hari ini.
Pada awalnya, projek ini menghadapi bantahan daripada Sarawak Heritage Society (SHS), yang menggesa kerajaan menghentikan rancangan merobohkan kuarters lama demi memelihara nilai sejarahnya.
Susulan rayuan yang dikemukakan pada Ogos tahun lalu, kerajaan negeri mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum mencapai penyelesaian yang seimbang.
Sebagai langkah kompromi, sebahagian kolam takungan akan dipindahkan ke kawasan berdekatan bagi memastikan struktur utama kuarters lama tidak diusik.
Bangunan ini akan dipulihara dan dijadikan Anjung Kasih, iaitu kemudahan penginapan sementara percuma untuk ahli keluarga pesakit kurang berkemampuan di HUS.
Kerajaan negeri turut melantik Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) sebagai penyelaras utama bagi projek pemulihan kuarters lama ini.
Oleh Amanda L.