Perlu jalani dialisis, keluarga hilang sumber pendapatan utama

Facebook
WhatsApp
MICHAEL Kong Feng Nian bertemu Salasiah yang berdepan cabaran kewangan selepas suaminya memerlukan rawatan dialisis secara berkala, baru-baru ini.

KUCHING: Sekeluarga terpaksa bergantung kepada perniagaan makanan secara kecil-kecilan dari rumah selepas sumber pendapatan utama terjejas susulan suami disahkan mengalami kegagalan buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis secara berkala.

Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian berkata, keadaan itu berlaku selepas bakal majikan suami Salasiah mengetahui beliau memerlukan rawatan dialisis sebelum memulakan pekerjaan baharu.

Katanya, suami Salasiah sebelum ini bekerja sebagai anggota polis bantuan dan dijadualkan memulakan pekerjaan baharu, namun pengambilannya tidak diteruskan selepas majikan mengetahui keadaan kesihatannya.

“Dalam sekelip mata, keluarga ini kehilangan sumber pendapatan yang amat penting,” katanya.

Menurut Kong, bagi meneruskan kehidupan dan menyara keluarga, Salasiah kemudian memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan dari rumah.

Suaminya turut membantu menghantar pesanan makanan kepada pelanggan apabila keadaan kesihatannya mengizinkan. Bagaimanapun, perniagaan berkenaan terpaksa ditutup pada hari suaminya tidak sihat atau menjalani rawatan dialisis kerana tiada orang lain yang boleh membuat penghantaran.

Kong berkata, situasi itu menggambarkan cabaran yang dihadapi keluarga apabila penyakit kronik bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan, malah turut menjejaskan sumber pendapatan dan kehidupan harian.

“Selain cabaran fizikal akibat menjalani dialisis, mereka turut berdepan beban kewangan untuk mencari rezeki sambil menyesuaikan diri dengan kehidupan yang berubah sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan Salasiah dan keluarganya baru-baru ini sebelum menyampaikan sumbangan kewangan sebagai sebahagian daripada usaha membantu individu yang menjalani rawatan dialisis.

“Walaupun sumbangan ini mungkin kecil, saya berharap ia dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka ketika mereka terus tabah menghadapi keadaan yang sukar ini,” katanya.

Kong turut memuji ketabahan Salasiah dan suaminya yang terus berusaha mencari rezeki serta saling menyokong walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya amat terinspirasi dengan kekuatan dan keazaman mereka. Walaupun berdepan pelbagai rintangan, mereka terus berusaha, saling menyokong dan tidak pernah berputus asa,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus membantu keluarga dalam komuniti yang berdepan kesusahan serta berharap pasangan itu diberikan kekuatan untuk menghadapi cabaran dan menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Oleh Connie Chieng