KAPIT: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Nasional (NIOSH) kini sedang menjalankan kajian untuk menubuhkan pejabatnya di sini (Kapit).
Pengerusinya, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, ia untuk memenuhi keperluan ribuan guna tenaga pekerja dalam pelbagai projek mega yang dilaksanakan di bahagian tersebut, selain terdapat ramai penduduk tempatan yang bekerja dalam industri minyak dan gas, pembalakan serta lain-lain di luar negara.
“Semua mereka (pekerja) diwajibkan mengikuti latihan kursus pekerjaan dan keselamatan untuk memenuhi syarat bagi mendapat sijil keselamatan dari NIOSH.
“Maka, dengan adanya pejabat NIOSH di Kapit, ia akan mengurangkan bebanan mereka untuk mengikuti kursus di luar Kapit yang memerlukan kos agak mahal,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa makan malam menyambut kedatangan tiga pegawai kanan dari ibu pejabat NIOSH Kuala Lumpur, di sini baru-baru ini.
Mereka ialah Setiausaha Eksekutif NIOSH, Mejar Hanif Maiden, Pengurus Bahagian Perniagaan dan Pemasaran, Mohd Hussin Abdul Salam dan Amir Ghazali.
Ahli Parlimen Hulu Rajang itu memberitahu, lebih 5,000 tenaga kerja dalam pelbagai bidang telah diambil bekerja di tapak pembinaan Projek Empangan Baleh.
“Selain itu, pelbagai projek mega turut dilaksanakan di Bahagian Kapit termasuk perlombongan arang batu di Nanga Mujong, projek pembinaan jalan dari Nanga Mujong ke Empangan Baleh, projek pembinaan jalan raya dari Nanga Ga’at ke Ulu Sungai Ga’at dan pelbagai lagi.
“Semua mereka (pekerja) memerlukan latihan kursus pekerjaan dan keselamatan untuk memenuhi syarat bagi mendapat sijil keselamatan dari NIOSH,” ujarnya.
Katanya, penubuhan pejabat NIOSH di bahagian ini dapat membantu mendaftarkan mereka yang mencari pekerjaan dan memberikan latihan profesional sehingga mereka mempunyai sijil untuk memohon pekerjaan.
“Sehingga kini, mereka harus mengikuti latihan di Miri yang memerlukan kos mahal,” ujarnya lagi.
NIOSH kini mempunyai tiga pejabat di Sarawak iaitu di Kuching, Bintulu dan Miri.
Oleh Akun Giman