CYBERJAYA, 3 Okt: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data boleh membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti risiko rasuah lebih awal menerusi analisis maklumat aduan, corak transaksi dan aktiviti mencurigakan.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata pendekatan berasaskan teknologi itu perlu diperluas selaras dengan bentuk jenayah rasuah yang semakin kompleks dan merentasi sempadan.
“SPRM mesti sentiasa berada di hadapan dengan memanfaatkan teknologi terkini, termasuk pemodenan proses siasatan dan analisis berasaskan data bagi memperkukuh keupayaan dalam mengesan serta menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat LPPR Bilangan 3 Tahun 2026 di sini semalam.
Mohamad Salim berkata penggunaan AI berpotensi memperkukuh aspek pencegahan dan pengurusan operasi SPRM, selain meningkatkan keupayaan forensik digital dalam pengesanan serta siasatan kes rasuah.
“SPRM mesti sentiasa berada di hadapan dengan memanfaatkan teknologi terkini, termasuk pemodenan proses siasatan dan analisis berasaskan data bagi memperkukuh keupayaan dalam mengesan serta menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama antara SPRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berpotensi memperkukuh infrastruktur teknologi yang menyokong pengurusan data serta sistem digital SPRM.
Mohamad Salim berkata aspek keselamatan perlu diberi keutamaan bagi melindungi maklumat sensitif SPRM daripada akses tanpa kebenaran, ancaman siber, penggodaman dan kebocoran data.
“Sehubungan dengan itu, pembangunan dan integrasi sistem perlu dilengkapi dengan kawalan keselamatan siber, kawalan akses, mekanisme pengesahan, langkah perlindungan data, jejak audit serta kaedah pemantauan yang bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata pihaknya menyambut baik syor dan pandangan LPPR bagi memperkukuh keupayaan serta kecekapan suruhanjaya itu dalam menangani cabaran rasuah semasa.
“SPRM akan terus komited memperkukuh keupayaan organisasi menerusi penerapan teknologi, pemerkasaan kepakaran serta penambahbaikan berterusan dalam aspek pengesanan, siasatan dan pencegahan rasuah,” katanya. – Bernama




