Bajet Sarawak 2027 bakal perincikan hala tuju ekonomi, hasil negeri – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika aktiviti riadah sempena Program Sarawakku Sayang Bahagian Mukah. Foto UKAS

MUKAH, 3 Oktober: Bajet Sarawak 2027 dijangka memberi gambaran lebih jelas mengenai hala tuju ekonomi negeri, kedudukan hasil serta isu tarif elektrik yang akan diumumkan pada pembentangan bajet, 12 Oktober ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beberapa perkara berkaitan ekonomi dan hasil Sarawak termasuk tarif elektrik akan diperincikan menerusi pembentangan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan langkah yang bakal diumumkan, sebaliknya meminta rakyat menunggu pembentangan Bajet Sarawak 2027.

“Insya-Allah, dua minggu lagi saya akan membentangkan Bajet Sarawak. Kita tunggulah bajetnya. Ada negeri lain naik tarif elektrik. Sama ada Sarawak naik… jangan khuatir, selagi Abang Jo ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Mukah di Dataran Pehin Setia Raja, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari menggalakkan lebih banyak isi rumah memasang panel solar di bumbung rumah sebagai usaha menjana tenaga elektrik sendiri sekali gus mengurangkan bil bulanan.

Menurutnya, kos pemasangan sistem berkenaan adalah sekitar RM30,000, dengan kerajaan Sarawak menyediakan subsidi sehingga RM15,000 bagi setiap rumah.

“Selain mengurangkan penggunaan elektrik daripada grid, lebihan tenaga yang dijana juga boleh dijual kepada SESCO.

“Selagi ada cahaya matahari, kita boleh mengeluarkan tenaga,” katanya.

Sebelum ini, skim solar atas bumbung Kerajaan Sarawak dilaporkan berpotensi membantu pengguna domestik menjimatkan sehingga RM6,000 setahun, bergantung kepada corak penggunaan elektrik isi rumah.