MUKAH, 3 Oktober: Sarawak mahu memanfaatkan sumber minyak dan gas yang dimilikinya bagi mengembangkan industri hiliran bernilai tinggi menerusi keupayaan yang diperkukuh dengan penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kewujudan Petros membolehkan Sarawak mempunyai keupayaan sendiri untuk berunding, menjalankan kajian serta mendapatkan maklumat strategik berkaitan perkembangan dan masa depan industri minyak dan gas.
Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan Sarawak memahami perkembangan industri berkenaan dan menjalankan kajian sendiri tanpa bergantung kepada pihak lain untuk mendapatkan maklumat strategik.
“Apabila saya menubuhkan Petros, setakat ini kita boleh berunding mengikut terma kita. Kedua, kita tahu keadaan dan masa depan industri serta boleh membuat kajian sendiri.
“Kita tidak bergantung kepada orang lain untuk maklumat strategik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawak Ku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Mukah, hari ini.
Abang Johari berkata, penubuhan Petros bukan bertujuan menjejaskan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), sebaliknya kedua-dua syarikat boleh bekerjasama dalam membangunkan industri minyak dan gas.
Menurutnya, hasil sektor berkenaan boleh dilaburkan semula untuk memperluas aktiviti hiliran bernilai tinggi, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi di Sarawak.
Beliau berkata, Sarawak merancang pembangunan kemudahan gas asli cecair (LNG) berskala kecil menggunakan sumber gas negeri sebagai bahan suapan bagi industri hiliran.
Katanya, Petros uga telah menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat Norway yang mempunyai pengalaman lebih daripada 50 tahun dalam pengurusan LNG terapung.
“Kemudahan LNG terapung itu disasarkan untuk mula beroperasi pada 2029 di Kuching sebagai sebahagian daripada pembangunan kompleks rendah karbon dan pelabuhan laut dalam yang dirancang kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Abang Johari berkata, usaha berkenaan selaras dengan pendekatan Sarawak untuk meningkatkan nilai sumber gas menerusi aktiviti hiliran, berbanding hanya bergantung kepada pengeluaran bahan mentah.
“Kalau kita ada bahan suapan, kita gunakannya untuk menghasilkan produk bernilai tambah tinggi dan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi,” katanya.
Oleh Tarani Lanting




