Hasil negeri kukuh, Sarawak terus perkasa pembiayaan pembangunan – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Program Sarawakku Sayang 2026 di Mukah. Foto TVS

MUKAH, 3 Oktober: Peningkatan hasil negeri memberi ruang kepada Sarawak untuk memperkukuh keupayaan membiayai projek pembangunan sendiri, termasuk pembangunan infrastruktur dan sektor ekonomi, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pengukuhan sumber pendapatan negeri, termasuk daripada sektor minyak dan gas, membolehkan kerajaan Sarawak mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan agenda pembangunan.

Menurutnya, hasil bumi Sarawak perlu dioptimumkan supaya manfaatnya dapat dikembalikan kepada rakyat melalui pembangunan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan dan ekonomi negeri.

“Kita mesti mengoptimumkan hasil bumi kita supaya hasil ini kita kembalikan kepada anak Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Mukah di Dataran Pehin Setia Raja di sini, hari ini.

Abang Johari berkata hasil minyak dan gas merupakan antara sumber penting yang dapat menyokong pembiayaan pembangunan, termasuk pembinaan jalan raya, infrastruktur serta pembangunan sektor pertanian.

Katanya, potensi sumber minyak dan gas Sarawak bukan sahaja tertumpu kepada pengeluaran komoditi, malah boleh menjadi pemangkin kepada kewujudan industri baharu di negeri itu.

Beliau berkata kawasan seperti Baram, Mukah dan Balingian mempunyai potensi dalam sektor berkenaan, manakala penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) menjadi sebahagian daripada usaha Sarawak mengurus sumber minyak dan gasnya mengikut kerangka undang-undang.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Petros turut bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Norway bagi membangunkan kemudahan gas asli cecair terapung (FLNG) yang dijangka mula beroperasi sekitar 2029 atau awal 2030.

Beliau berkata pendirian Sarawak berhubung sumber minyak dan gas berasaskan hak negeri, termasuk yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan bukan bertujuan menjejaskan kepentingan mana-mana pihak.

“Saya tidak akan undur mengenai hak Sarawak mengenai minyak dan gas,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari memberi bayangan bahawa Belanjawan Sarawak yang akan dibentangkan pada 12 Oktober depan akan memperincikan hala tuju ekonomi negeri serta langkah berkaitan kesejahteraan rakyat.

“Tunggulah bajetnya,” katanya.

Oleh Tarani Lanting