Pendekatan sains bantu perkasa sumber perikanan Sarawak – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
KUKUHKAN PERPADUAN...Abang Johari merakam kenangan pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama KMKK sempena Program SKS 2026 Bahagian Mukah, semalam.

MUKAH, 3 Oktober: Pendekatan berasaskan sains dan teknologi dalam pembangunan infrastruktur serta pengurusan sumber asli membantu mewujudkan habitat baharu dan menyokong peningkatan sumber perikanan di Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara contoh dapat dilihat menerusi pembinaan jambatan yang merentasi sungai apabila tiang jambatan berpotensi menjadi struktur yang menyediakan habitat dan sumber makanan kepada hidupan air.

Menurutnya, Jambatan Batang Lupar yang mempunyai lebih 30 tiang berpotensi mewujudkan ekosistem baharu yang menyokong perkembangan ikan terubuk.

“Kalau Jambatan Batang Lupar, ada 30 lebih tiang dan tiang tersebut menghasilkan makanan untuk ikan terubuk. Ikan terubuk bila masih kecil namanya emperit.

“Dan secara kebetulan jambatan yang kita bina, tiang jambatan tersebut menjadi rumah (ekosistem) kepada ikan terubuk dan inilah menjadi penyebab ikan terubuk bertambah, ini semuanya sains,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah, semalam.

Abang Johari berkata, pendekatan sama turut diterapkan menerusi penyediaan tukun tiruan bagi menyediakan habitat tambahan untuk pembiakan ikan di perairan Sarawak.

Katanya, kerajaan Sarawak mengambil inisiatif membangunkan tukun tiruan dari Tanjung Datu hingga Lawas dengan kos kira-kira RM70 juta, tanpa hanya bergantung kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan.

“Daripada kita bergantung kepada Kerajaan Pusat yang hanya memberi RM2 juta hingga RM4 juta untuk tukun tiruan, saya beritahu Dato’ Len (Talif Salleh) yang menjaga sumber asli, kita buat sendiri dari Tanjung Datu hingga ke Lawas walaupun menelan kos RM70 juta. Sebab itulah tukun tiruan menjadi ‘rumah’ ikan dan jumlah ikan meningkat, termasuk di Bahagian Mukah,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pembangunan infrastruktur berskala besar di Bahagian Mukah turut memperkukuh ketersambungan dan membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Antara projek utama ialah Jambatan Muara Lassa yang merupakan jambatan kedua terpanjang di Malaysia, selain Jambatan Batang Igan, Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Rajang, dengan keseluruhan pelaburan pembinaan jambatan di Bahagian Mukah melebihi RM2 bilion.

Beliau berkata, pendekatan berasaskan sains dan teknologi turut diterapkan dalam sektor pertanian, termasuk menerusi projek rintis penanaman padi perennial di Baram yang hanya perlu ditanam sekali untuk menghasilkan tanaman sehingga tempoh lima tahun.

“Pembangunan Sarawak perlu disokong kestabilan dan keharmonian masyarakat supaya semua kaum serta agama dapat terus hidup dalam suasana saling menghormati,” tegasnya.

Katanya, kestabilan berkenaan penting bagi membolehkan kerajaan meneruskan agenda pembangunan negeri dan memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.

Oleh Akun Giman