SIBU: Projek Jalan Teku Pasai Siong ke Kemuyang yang dilancarkan hari ini menandakan permulaan perjalanan transformasi yang bakal mengubah Bahagian Sibu.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek ini bukan sekadar jalan raya, tetapi juga membuka peluang, meningkatkan hubungan, dan merangsang aktiviti ekonomi untuk rakyat di kawasan ini.
“Projek ini akan menyediakan jalan alternatif yang lebih singkat untuk perjalanan ke bandar Sibu, Hospital Sibu, Lapangan Terbang Sibu, dan kawasan perniagaan untuk penduduk di Kemuyang dan Teku Pasai,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Teku Pasai Siong ke Kemuyang, di sini hari ini.
Menurut beliau, projek yang dianggarkan menelan kos RM89 juta bagi fasa pertama ini dijangka siap dalam dua tahun, dengan tender projek tersebut telah dikeluarkan pada 4 Januari 2025.
“Pembinaan jalan sepanjang 6 kilometer ini merangkumi 700 meter jalan bertingkat dan akan menggunakan kaedah Building Industry Modelling (BIM).
“Dengan adanya jalan baharu ini, masa perjalanan yang sebelum ini memakan masa 36 minit (28.4km) akan dipendekkan kepada hanya 7 minit (6.17km).
“Projek ini juga dijangka memberi manfaat kepada 1,544 penduduk serta warga sekolah dari 11 rumah panjang dan dua sekolah di sekitar kawasan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Uggah turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang memberi kepercayaan kepada kementeriannya dengan pembentangan bajet pembangunan terbesar dalam sejarah Sarawak bagi 2025, yang berjumlah RM1.31 bilion.
“Dalam perspektif Bahagian Sibu, Kerajaan Negeri Sarawak telah meluluskan 17 projek jalan raya dengan nilai keseluruhan RM826 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12.
“Pembiayaan projek-projek tersebut terdiri daripada sembilan projek bernilai RM756,545,540 di bawah Projek Rakyat, dua projek bernilai RM564,819,482 melalui Pembiayaan Alternatif, dan enam projek bernilai RM521,056,743 di bawah RMK-12,” ujarnya.
Oleh Tarani Lanting / Akun Giman