SIBU: Sarawak mengorak langkah signifikan dalam usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur dengan pelancaran rasmi majlis Pecah Tanah Projek Jalan Teku Pasai Siong – Kemuyang.
Majlis yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Persimpangan Desa Kemuyang, berhampiran padang bola sepak SMK Jalan Oya, telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai bukti komitmen kerajaan negeri terhadap kemajuan prasarana untuk kesejahteraan rakyat.
Projek ini dirangka untuk memperkukuh jaringan jalan raya serta mempertingkat kelancaran aliran trafik di kawasan Sibu, sekali gus memenuhi keperluan mobiliti penduduk yang semakin meningkat.
Antara komponen utama projek ini termasuk pembinaan jalan baharu sepanjang 6.172 km yang menghubungkan Jalan Teku Pasai Siong ke Kemuyang, penaiktarafan Jalan Teku Pasai Siong ke Bulatan Universiti Teknologi Sarawak kepada jalan berkembar dua lorong dua hala, dan menaik taraf Jalan Persimpangan Taman Desa Kemuyang ke arah Jalan Sibu-Bintulu mengikut piawaian standard JKR R5.
Apabila siap kelak, projek ini dijangka membawa perubahan besar dengan mengurangkan masa perjalanan dari Jalan Teku Pasai Siong ke Desa Kemuyang daripada 36 minit kepada hanya 7 minit, sekali gus meningkatkan kecekapan dan kemudahan perjalanan harian penduduk setempat.
Majlis dimulakan pada 3.00 petang dengan persembahan Tarian Singa dan Tarian Tradisional Rampaian yang menggambarkan kekayaan budaya warisan tempatan dan semangat kemuafakatan komuniti.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Datuk Dr. Annuar Rapaee, menyerlahkan signifikan acara ini sebagai usaha bersama ke arah pembangunan yang lebih mampan.
Tayangan video yang menerangkan skop dan impak projek memberikan gambaran menyeluruh kepada semua hadirin serta membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memperkasakan infrastruktur demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Simbolik perasmian majlis pecah tanah yang menjadi upacara kemuncak telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, melambangkan permulaan langkah transformasi besar untuk manfaat seluruh komuniti di kawasan ini.
Projek Jalan Teku Pasai Siong – Kemuyang adalah salah satu inisiatif utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, yang menjadi manifestasi komitmen teguh kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan konektiviti serta merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan ini.
Dengan anggaran kos sebanyak RM89 juta untuk fasa pertamanya, projek ini dijangka membawa impak yang signifikan kepada penduduk setempat melalui penyediaan infrastruktur yang lebih efisien dan akses jalan yang lebih baik.
Selain itu, projek ini juga turut dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kawasan perumahan dan komersial di Sibu, sekali gus memperkukuhkan daya saing dan tarikan ekonomi bandar ini.
Oleh Tarani Lating / Akun Giman