SANTUBONG: Konsert Festival Rock In The Jungle (RITJ) menjanjikan gabungan muzik rock yang hebat dengan suasana alam semula jadi yang memukau, menampilkan barisan kumpulan legenda, tempatan dan antarabangsa yang bakal ‘menggegar’ pentas di Kampung Budaya Sarawak, Santubong pada 28 dan 29 Disember 2024, 2.00 petang hingga 12.00 tengah malam.
Antara kumpulan yang bakal membuat persembahan terdiri Wings, Sweet Charity, XPDC, Jemson, Criss X, JS Boys, Edane, Candy, Criss X, Senseless dan BNB Band.
Festival yang ditunggu-tunggu oleh peminat tegar rock ini diadakan di lokasi terbuka untuk mencipta suasana unik berbeza daripada konsert biasa.
Ia bertujuan meraikan muzik rock dalam persekitaran yang lebih dekat dengan alam semula jadi. Festival ini menghidangkan seleksi lagu rock yang nostalgia, pencahayaan yang menarik dan elemen visual yang sesuai dengan tema ‘jungle’.
Menurut Pengerusi Penganjur RITJ Nawawi Bujang, idea menganjurkan festival ini tercetus tujuh atau lapan tahun yang lalu oleh kumpulan dan peminat rock tempatan bagi menampilkan persembahan rock dari dalam dan luar negara berpesta di atas pentas yang berbeza berlatarkan Gunung Santubong, dikelilingi hutan hujan dan suasana alam semula jadi.
“Sasaran pengunjung hadir pada RITJ adalah 8,000 hingga 10,000 pengunjung tempatan, Semenanjung Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan Indonesia untuk dua hari festival.
“Festival ini sebagai platform untuk memberi peluang kepada kumpulan tempatan untuk bersama-sama beraksi dengan nama-nama besar dari dalam dan luar negara,” katanya baru-baru ini.
Ditanya festival itu turut menjana ekonomi dengan menampilkan vendor makanan dan minuman, Nawawi berkata, sudah pasti diadakan reruai menjual makanan dan minuman bagi menjana pendapatan penduduk tempatan sekali gus memperkenalkan makanan tempatan, kraf tangan dan merchandise Festival Rock In The Jungle iaitu Kemeja-T edisi terhad.
“Selain konsert dan reruai makanan dan minuman, festival ini turut menampilkan aktiviti sampingan dikenali sebagai Pocket Show. Ia menampilkan persembahan kumpulan tempatan di pentas mini.
“Sudah pasti festival ini bakal mengatasi festival yang sedia ada sebelum ini dengan tujuan lebih kepada mencapai matlamat Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Tourism Malaysia untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi acara-acara antarabangsa,” kata Nawawi.
Festival Rock In The Jungle dianjurkan oleh Authentic Ideas & Events disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Tourism Malaysia.
Jangan ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada festival rock yang epik ini.
Peminat boleh mendapatkan tiket awal pada harga RM188 untuk pas kemasukan harian dan RM350 untuk pas kemasukan dua hari.
Promosi tiket awal akan di-lanjutkan hingga 22 Disember ini dan sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesa-wang ticketmelon.com/kanzenarena/rockinthejungle.
Oleh Yanti Sham