Dapur rumah terbakar, dua penyewa selamat

Facebook
WhatsApp
PADAM...Anggota bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran di bahagian dapur sebuah rumah teres di Piasau Jaya 3C, Miri, tengah hari tadi. Foto JBPM

MIRI, 14 November: Dua penyewa sebuah rumah teres setingkat di Lorong 3C, Piasau Jaya 3C, di sini, berdepan detik cemas apabila bahagian dapur kediaman mereka terbakar tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.28 tengah hari itu, kebakaran membabitkan sekitar 20 peratus bahagian rumah berstruktur kekal berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dengan bantuan BBP Lopeng bergegas ke lokasi.

DAPUR rumah terbakar, dua penyewa selamat

Menurutnya, jentera bomba tiba pada 12.46 tengah hari dan operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan dua aliran salur bantu mula bagi mengelakkan api merebak ke bahagian lain rumah.

“Api berjaya dikawal pada 1.05 petang sebelum anggota menjalankan pemeriksaan di bahagian siling rumah bagi memastikan tiada lagi punca api.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu dan kedua-dua penghuni, masing-masing seorang lelaki dan wanita dewasa, selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi membabitkan 15 anggota dengan kekuatan dua jentera bomba dan sebuah Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) itu ditamatkan sepenuhnya pada 2.10 petang.

Oleh Liong Chai Ling