LAWAS: Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) tidak punya pilihan selain mendapatkan khidmat bomba untuk mengangkat seorang individu mengalami obesiti yang pitam di sebuah restoran di Jalan Datuk Racha Umong di sini, petang semalam.
Menurut Komander Operasi, Mursen Timol pihaknya menerima panggilan pada 3.30 petang berhubung kejadian daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, setelah KKM gagal membawa lelaki itu turun dari tingkat satu restoran berkenaan.
“Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Di lokasi kejadian, anggota melaporkan mangsa melibatkan seorang lelaki dengan berat dalam anggaran 150 kilogram dalam keadaan pitam, sedang dirawat oleh pegawai perubatan dari Hospital Lawas.
“Pihak bomba segera bertindak membantu memindahkan mangsa dari tingkat sat uke tingkat bawah bangunan restoran menggunakan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa berusia 47 tahun, berjaya dipindahkan, dan kemudiannya dibawa oleh ambulans untuk rawatan lanjut di Hospital Lawas.
Turut berada di lokasi untuk membantu ialah pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan beberapa anggota polis.