SIMANGGANG, 20 Oktober: Kesedaran tentang keselamatan diri dan keberanian mendapatkan bantuan menjadi fokus utama Program Sembang Santai: Kempen Kesedaran Jenayah Seksual Kanak-Kanak anjuran Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol Sri Aman, baru-baru ini.
Program yang berlangsung dari 2.00 petang hingga 5.00 petang di bilik aktiviti institusi itu melibatkan seramai 42 kanak-kanak dan 14 kakitangan.
Menurut kenyataan Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, program berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada kanak-kanak mengenai jenayah seksual, termasuk mengenali situasi yang boleh mengancam keselamatan diri serta memahami hak mereka sebagai kanak-kanak.
Ceramah disampaikan oleh Sarjan Suzy Andrew Baie dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman yang berkongsi pengetahuan berkaitan usaha mencegah jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Program itu turut menekankan kepentingan mengetahui tindakan yang perlu diambil apabila berhadapan dengan situasi mencurigakan atau tidak selamat, termasuk mendapatkan bantuan daripada individu yang dipercayai.
Selain meningkatkan kesedaran kanak-kanak, inisiatif itu turut memperkukuh kerjasama antara penghuni dan kakitangan dalam mewujudkan persekitaran yang selamat, kondusif serta bebas daripada penderaan dan eksploitasi seksual.
Peranan kakitangan sebagai pelindung turut diberi penekanan bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan.
Penganjur berharap program seumpama itu dapat memupuk keberanian dalam kalangan kanak-kanak untuk bersuara, melaporkan perkara yang mencurigakan dan mendapatkan pertolongan apabila berhadapan dengan situasi yang mengancam keselamatan mereka.
Ucapan tahniah turut diberikan kepada penyelaras program, Mohammad Nur Syaffiq Ashman Osman, atas komitmen dalam menjayakan program berkenaan.
Usaha berterusan melalui pendidikan dan kesedaran seperti ini penting bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang selamat dan terpelihara.
Oleh Adi Safarman




