LAWAS, 20 Oktober: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pos Mengkalap, Batalion Ke-10 Rejimen Sempadan, pada 9.00 pagi tadi di Bilik Menunggu (Holding Room) IPD Lawas.
Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Anak Tindan, delegasi yang diketuai Leftenan Yitzryle Nian bersama empat anggota itu disambut oleh Ketua Polis Daerah Lawas, ketua-ketua bahagian, ketua polis balai serta warga IPD Lawas.
Kunjungan itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara Pos Sempadan Mengkalap, Tentera Darat Malaysia (TDM), dengan IPD Lawas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), di samping memperkukuh kerjasama strategik kedua-dua agensi dalam aspek keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di daerah Lawas.
Kedua-dua pihak turut bertukar maklumat berkaitan keselamatan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara.
Ketua Polis Daerah Lawas turut membincangkan aspek kerjasama keselamatan serta usaha pencegahan jenayah di kawasan sempadan dan bandar Lawas.
Program diteruskan dengan sesi pertukaran cenderahati antara kedua-dua pihak.
Kunjungan itu mencerminkan hubungan kerjasama dan silaturahim yang baik antara PDRM dengan Tentera Darat Malaysia di peringkat daerah. Kerjasama berterusan antara kedua-dua agensi amat penting dalam memperkukuh keselamatan, mencegah kegiatan jenayah serta memastikan keamanan dan ketenteraman awam di daerah Lawas sentiasa terpelihara.
Oleh Adeng Edrus





