Bas perhubungan S10 Sebuyau ke Pusat Beli-Belah Summer mula beroperasi

Facebook
WhatsApp
PERKHIDMATAN bas laluan S10 yang menghubungkan Sebuyau dengan Pusat Beli-Belah Summer mula beroperasi pada 19 Oktober bagi memudahkan pergerakan penduduk setempat. Foto janaan AI

KOTA SAMARAHAN, 20 Oktober: Perkhidmatan bas laluan S10 yang menghubungkan Sebuyau dengan Pusat Beli-Belah Summer kini mula beroperasi, sekali gus menyediakan pilihan pengangkutan awam kepada penduduk Sebuyau dan kawasan sekitarnya.

Menurut kenyataan BEMC Group, perkhidmatan itu dikendalikan oleh City Public Link Bus Service Sdn. Bhd. bagi memudahkan pergerakan penduduk ke pusat membeli-belah serta destinasi di sepanjang laluan berkenaan.

Majlis perasmian ringkas perkhidmatan S10 disempurnakan oleh Pengarah Urusan City Public Link Bus Service Sdn. Bhd., Chan Mou Kei, bersama Datuk Maliki dan Pengurus Operasi, Aziz.

Sepanjang tempoh percubaan dari 19 hingga 31 Oktober ini, perkhidmatan berkenaan menyediakan dua perjalanan sehari, iaitu dari Pusat Beli-Belah Summer, Kota Samarahan ke Sebuyau pada 11.00 pagi dan dari Sebuyau ke Pusat Beli-Belah Summer pada 3.00 petang.

Bagaimanapun, mulai 1 November 2026, jadual perjalanan penuh S10 akan berkuat kuasa dengan empat perjalanan sehari bagi memberikan lebih banyak pilihan waktu kepada pengguna.

Perjalanan dari Sebuyau ke Pusat Beli-Belah Summer dijadualkan pada 7.00 pagi dan 3.00 petang, manakala perjalanan dari Pusat Beli-Belah Summer ke Sebuyau ditetapkan pada 11.00 pagi dan 6 petang.

Pengoperasian laluan itu diharap dapat memudahkan urusan harian penduduk, khususnya mereka yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, membeli-belah atau menjalankan urusan peribadi.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan bas S10 boleh diajukan dengan menghubungi Kaunter Serian menerusi talian 012-878 0278 atau Kaunter Saujana di talian 013-839 9278.

Pihak pengendali turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul sepanjang pelaksanaan perkhidmatan itu serta merakamkan penghargaan kepada pelanggan atas sokongan yang diberikan.

Dengan pengoperasian laluan S10, penduduk Sebuyau dan kawasan sekitarnya kini mempunyai satu lagi pilihan pengangkutan awam untuk perjalanan ke Pusat Beli-Belah Summer.

Oleh Adi Safarman