KUCHING, 20 Oktober: Kerajaan Sarawak menyalurkan RM23.71 juta bantuan bencana kepada 499,859 mangsa yang terjejas akibat kemarau, banjir, kebakaran, ribut dan tanah runtuh sehingga September 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, jumlah perbelanjaan itu melebihi peruntukan asal sebanyak RM10.1 juta berikutan peningkatan keperluan penghantaran bekalan air bersih susulan kejadian kemarau luar jangka.
“Sehingga September 2026, kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMS) telah menyalurkan RM23.71 juta bantuan bencana kepada 499,859 mangsa yang terjejas akibat pelbagai bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Tambahnya, bagi menghadapi fenomena El Nino, JKMS telah mengaktifkan Bilik Operasi Bantuan Bencana serta memperkukuh kesiapsiagaan pejabat di peringkat bahagian dan daerah.
Menurutnya, penghantaran bekalan air bersih akan dilaksanakan dengan segera bagi memastikan penduduk yang terjejas akibat kemarau menerima bantuan sewajarnya.
Dalam persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027, sebanyak 679 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh Sarawak bagi menempatkan mangsa sekiranya berlaku bencana.
“Sebanyak 679 PPS telah dikenal pasti di seluruh Sarawak bagi menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027, selain penyediaan stok bantuan asas di depoh simpanan dan pangkalan hadapan bencana,” katanya.
Beliau berkata, stok bantuan keperluan asas turut disediakan di Depoh Simpanan Samarahan, empat mini depoh di Mukah, Kapit, Miri dan Lawas serta 12 Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian dan Daerah.
Selain itu, sebanyak 23 Pangkalan Hadapan Bencana turut disediakan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera kepada penduduk yang terjejas.
Oleh Norman B




