PASUKAN Liga Super, Terengganu FC (TFC) dan skuad Liga Premier, TFC II akan menyambung latihan hari ini setelah mendapat kelulusan daripada Liga Bola sepak Malaysia (MFL), Khamis lepas.
Setiausaha eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata dakwaan mengatakan pasukan itu tidak diluluskan oleh MFL, tidak benar sama sekali kerana persatuan berkenaan berjaya melengkapkan empat kriteria utama ditetapkan MFL bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk latihan di padang terbuka.
Empat kriteria berkenaan adalah ujian calitan, melantik seorang pegawai penyelaras, venue latihan serta mendaftarkan venue dalam laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di https://notification.miti.gov.my.
Mohd Syahrizan berkata, latihan kedua-dua pasukan berkenaan akan diadakan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, dengan kawalan venue yang ketat dan tidak membenarkan orang luar masuk ke pusat latihan.
“Kami menghantar semua dokumen diperlukan pada Rabu (17 Jun) dan diluluskan MFL. Namun, kami akan memulakan latihan pada Ahad setelah semuanya bersedia. Semua proses berjalan lancar dan tiada sebarang masalah daripada pihak kami bagi MFL meluluskan permohonan yang diarahkan termasuk venue latihan di Gong Badak.
“Sesi latihan nanti akan dirancang barisan kejurulatihan memandangkan hanya 10 pemain dan empat pegawai dibenarkan dalam satu tempoh masa 45 minit dan pintu masuk di Kompleks Sukan Gong Badak akan dibantu pihak keselamatan untuk memastikan hanya pemain, pegawai dan orang tertentu dibenarkan masuk ke kawasan latihan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL, semalam.
Empat pasukan sudah menjalani latihan pada minggu ini selepas melengkapkan empat syarat utama ditetapkan oleh MFL iaitu Negeri Sembilan, UiTM FC , Selangor II dan Johor Darul Ta’zim.
Dalam pada itu, Setiausaha Eksekutif Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman mencadangkan pasukan yang mahu menjimatkan kos supaya menjalani ujian swab di hospital kerajaan kerana kosnya tidak terlalu mahal berbanding hospital swasta, sekali gus membantu mana-mana pasukan Liga Malaysia untuk memenuhi kriteria ditetapkan MFL.
Presiden Kelantan United, Datuk Che Abdullah Mat Nawi pula memaklumkan pasukan Liga Premier berkenaan telah menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri bagi membolehkan pemain dan pegawai pasukan berkenaan menjalani ujian calitan selewat-lewatnya sebelum 24 Jun ini.
“Langkah ini diambil untuk penjimatan kerana bagi saya apapun terjadi, pasukan tetap kena berlatih dan ada langkah alternatif jika mahu kurangkan kos.
“Saya bagi contoh, kos paling murah difahamkan bagi seorang kalau di hospital swasta, sekitar RM350 dan jika di hospital kerajaan, walaupun masih kena bayar tetapi tidak semahal di hospital swasta,” katanya.-Bernama