Mong Dagang umum peruntukan MRP RM15,000 kepada PIBG SK Selanjan

Facebook
WhatsApp
DATUK Mong Dagang semasa menghadir Majlis Merarau Sekolah Kebangsaan (SK) Selanjan Tahun 2026. Foto ADUN Bukit Begunan

PANTU, 25 Oktober: Majlis Merarau Sekolah Kebangsaan (SK) Selanjan Tahun 2026 menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dengan ibu bapa, selain mengumpul dana bagi menyokong pelaksanaan aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, penganjuran majlis itu membawa makna lebih besar daripada sekadar usaha mengumpul dana.

Menurut beliau, majlis berkenaan turut menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim antara ibu bapa, guru dan komuniti setempat demi kepentingan pendidikan murid.

“Kerjasama erat antara pihak sekolah dengan ibu bapa amat penting bagi memastikan perkembangan murid mendapat sokongan menyeluruh, sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

“Hubungan baik antara kedua-dua pihak mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih positif, sekali gus membantu murid mengembangkan potensi dan bakat masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis itu semalam.

Mong berharap SK Selanjan terus mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan, selain melahirkan murid yang berjaya dalam akademik dan sukan serta memiliki sahsiah terpuji.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM15,000 kepada PIBG SK Selanjan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program persatuan berkenaan.

“Peruntukan itu diharap dapat membantu PIBG memperkukuh peranannya dalam menyokong keperluan sekolah serta melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada murid,” katanya.

Majlis berkenaan turut mencerminkan kepentingan penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam menyokong pembangunan pendidikan serta membentuk masa depan generasi muda.

Turut hadir ialah Guru Besar SK Selanjan, Bungu Jutie; Yang Dipertua PIBG SK Selanjan, Clement Laga serta warga pendidik sekolah berkenaan.

Oleh Adi Safarman