SIBU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10 berjaya merampas 1,250 karton rokok kretek pelbagai jenama dengan anggaran nilai termasuk cukai RM158,424 dalam serbuan di sebuah jeti lama Durin.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Mancha Ata berkata, bertindak atas maklumat risikan sekitar jam 9.15 pagi semalam sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Batalion PGA 10 telah membuat intipan di sebuah jeti lama Durin.
Menurutnya, intipan dibuat kerana lokasi tersebut disyaki digunakan untuk kegiatan transit barang-barang seludup sebelum diedarkan ke kawasan Kapit dan kawasan sekitar dengan menggunakan laluan sungai.
“Pasukan serbuan telah berjaya menemui kesemua rokok kretek tersebut. Tiada sebarang tangkapan dibuat pasukan serbuan,” jelasnya menerusi kenyataan petang semalam.
Katanya, rampasan telah dibuat ke atas semua rokok tersebut kerana disyaki diseludup mengikut kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam.
“Barang rampasan diserahkan kepada pihak Ibupejabat Polis Daerah Sibu untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Katanya lagi, operasi tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk membanteras aktiviti penyeludupan minuman keras dan rokok khususnya di Daerah Sibu dan kawasan sekitarnya.