GPS mampu buat semak dan imbang sendiri – Asfia

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Asfia Awang Nassar bersama isterinya, Datin Amar Fatimah Iskandar dan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng menyempurnakan gimik perasmian Klinik Kitak di Gala City, hari ini.

KUCHING, 14 November: Golongan profesional muda yang diketengahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 berupaya memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang dalaman bagi memastikan kerajaan terus melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Asfia Awang Nassar berkata, golongan profesional muda daripada pelbagai bidang mempunyai etika dan prinsip kerja tersendiri yang membolehkan mereka menyuarakan ketidakpuasan hati sekiranya terdapat kelemahan dalam pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, peranan itu penting bagi memastikan kerajaan sentiasa berpegang pada penanda aras yang ditetapkan, khususnya dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi, menangani kos sara hidup dan memperbaiki kualiti hidup rakyat Sarawak.

“Golongan profesional muda ini mempunyai etika dan prinsip tersendiri dalam melaksanakan tugas mereka. Mereka boleh bertindak sebagai semak dan imbang.

“Sekiranya kerajaan gagal melaksanakan tanggungjawab dalam bidang tertentu sedangkan penanda aras sudah ditetapkan, golongan ini boleh menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap GPS dan bertindak sebagai semak dan imbang dalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Klinik Kitak di Gala City, di sini, hari ini.

Asfia berkata, mekanisme semak dan imbang tidak semestinya bergantung sepenuhnya kepada parti pembangkang, sebaliknya turut boleh dilaksanakan menerusi teguran dan pandangan kritikal daripada wakil kerajaan sendiri.

Sebelum ini, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa gabungan itu bakal menampilkan kombinasi calon berpengalaman dan golongan muda pada PRN Sarawak ke-13, dengan pemilihan mengambil kira faktor usia, kemahiran, prestasi serta maklum balas masyarakat.

Abang Johari berkata, pertambahan golongan muda dalam masyarakat turut menjadi antara pertimbangan GPS dalam menentukan barisan calon bagi menghadapi pilihan raya negeri kali ini.

Pendekatan itu dilihat selari dengan usaha memberi ruang kepada lebih ramai profesional muda daripada pelbagai latar belakang untuk menyumbang kepada pembangunan negeri, selain membawa perspektif dan kepakaran masing-masing dalam pentadbiran serta proses membuat keputusan.

Oleh Shahrul Qaizat