GPS sasar menang semua 82 kerusi, tiada istilah beri laluan atas alasan semak dan imbang

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Asfia Awang Nassar ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Klinik Kitak di Gala City, di Kuching, hari ini.

KUCHING, 14 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyasarkan kemenangan di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dan tidak akan memberi laluan kepada mana-mana parti lain atas alasan mewujudkan sistem semak dan imbang.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Asfia Awang Nassar berkata, setiap parti politik yang bertanding mempunyai matlamat untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi, termasuk GPS yang akan meletakkan calon di kesemua 82 kawasan DUN.

Menurutnya, soal mewujudkan semak dan imbang bukanlah sesuatu yang perlu ditentukan oleh parti politik menerusi pemberian atau penyerahan kerusi, sebaliknya terpulang kepada kebijaksanaan pengundi di kawasan masing-masing.

“GPS bertanding di kesemua 82 kerusi. Apabila bertanding di semua 82 kerusi, sudah tentu kita mahu memenangi kesemuanya.

“Kita tidak mahu mengatakan kerusi ini kita beri laluan, kerusi itu kita beri laluan atas nama semak dan imbang.

“Menjadi tanggungjawab parti politik lain untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka diperlukan sebagai semak dan imbang. Jika mereka percaya perkara itu penting, terpulang kepada pengundi untuk membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Klinik Kitak di Gala City, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asfia berkata, GPS setakat ini mempunyai rekod pentadbiran yang mencerminkan komitmennya terhadap pembangunan Sarawak.

Katanya, pembangunan pelbagai sektor di Sarawak turut didorong kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki negeri ini, sekali gus membolehkannya meneroka bidang baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan pusat data.

Menurutnya, pembangunan pusat data memerlukan bekalan tenaga elektrik yang besar, justeru Sarawak mempunyai kelebihan menerusi sumber tenaga hidroelektrik, solar, minyak dan gas.

“AI memerlukan bekalan tenaga yang sangat besar untuk mengendalikan pusat data. Di Poland, bekalan tenaga bagi sebuah pusat data dikatakan bersamaan dengan keperluan elektrik seluruh kediaman di negara itu.

“Sarawak mampu bercakap mengenai pembangunan pusat data kerana kita mempunyai minyak, gas, solar dan hidro. Kita mempunyai jumlah penduduk yang kecil, wilayah yang luas serta sumber yang begitu banyak,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju pembangunan ekonomi dan teknologi pada masa hadapan.

Oleh Shahrul Qaizat