LAWAS: Sesi persekolahan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas dibuka semula, hari ini.
Menurut Pengetua SMK Lawas, Tuah Adis, pembukaan sesi persekolahan itu setelah pihak sekolah mendapat kebenaran daripada pihak bomba untuk membenarkan pelajar dan guru hadir ke sekolah tersebut.
“Surat serah milik premis daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Limbang telah diterima pada petang Khamis (semalam) dan hari ini sekolah mula beroperasi semula.
Kita ada dua blok yang berhampiran dengan bangunan terbakar yang masih belum selamat untuk disambung bekalan elektrik, blok lain telah pun disambung bekalan elektrik oleh pihak Sesco,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan Saberkas Cawangan Ba’kelalan hari ini.
Hari ini, pelajar memulakan persekolahan dengan taklimat keselamatan oleh pihak sekolah sebelum dibenarkan beredar ke kelas masing-masing.
Terdahulu, dua blok pentadbiran musnah dalam kebakaran pada jam 11.30 malam Isnin lepas.
Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada litar pintas pada bangunan pentadbiran utama.
SMK Lawas menempatkan seribu pelajar dan 150 orang adalah pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Oleh Adeng Edrus