BINTANGOR, 27 Oktober: Kebajikan penghuni yang terjejas akibat kebakaran tiga rumah di Rumah Empani mendapat perhatian penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang turun padang meninjau keadaan mereka susulan kejadian itu.
Lawatan tersebut turut memberikan peluang kepada beliau untuk mendapatkan gambaran secara langsung mengenai kerosakan yang berlaku, selain mengenal pasti keperluan penghuni bagi membantu proses pemulihan selepas kehilangan tempat berteduh sementara.
Katanya, kejadian kebakaran yang mengakibatkan kemusnahan kediaman dan barangan keperluan harian merupakan dugaan berat kepada mereka yang terlibat, khususnya dalam usaha meneruskan kehidupan selepas musibah.
“Saya amat bersimpati dengan nasib penghuni yang terjejas akibat kebakaran ini. Kehilangan tempat berteduh dan barangan keperluan harian sememangnya satu dugaan yang berat, lebih-lebih lagi apabila berlaku secara tidak diduga.
“Saya berharap mereka terus tabah dan kuat menghadapi keadaan ini, sementara usaha mendapatkan bantuan serta memulihkan kehidupan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya ketika mengadakan lawatan di lokasi pada semalam.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut meluangkan masa beramah mesra, bertanya khabar dan mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi penghuni terjejas.
Ding juga meninjau kawasan kebakaran bagi memahami keadaan sebenar dan keperluan yang mungkin memerlukan perhatian pihak berkaitan.
Katanya, usaha mengenal pasti keperluan selepas sesuatu bencana amat penting supaya bantuan yang disalurkan bersesuaian dengan keadaan semasa mereka yang terlibat.
“Dalam keadaan seperti ini, sokongan daripada pelbagai pihak amat penting untuk membantu meringankan beban mereka yang terjejas.
“Kita berharap segala urusan berkaitan bantuan dan pemulihan dapat dipermudahkan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih teratur,” katanya.
Ding turut berharap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Meradong dapat memberikan perhatian terhadap keadaan penghuni berkenaan, khususnya dalam penyelarasan bantuan dan keperluan susulan.
Tambahnya, kerjasama antara agensi berkaitan dan masyarakat setempat penting bagi memastikan mereka yang berdepan musibah tidak terpinggir daripada bantuan yang diperlukan.
Oleh Earl Anek




