BINTANGOR, 27 Oktober: Sebanyak tujuh pili bomba di Taman Muhibbah diperiksa sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kemudahan bekalan air sentiasa di berikan perhatian bagi menyokong operasi pemadaman kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pemeriksaan dijalankan oleh tiga anggota bomba bermula 9.30 pagi hingga 10.10 pagi semalam.
“Pemeriksaan pili bomba merupakan antara aktiviti penting dalam kesiapsiagaan operasi kerana kemudahan tersebut berperanan sebagai sumber bekalan air ketika pasukan bomba menjalankan tugas pemadaman kebakaran.

“Ia amat penting dalam operasi kebakaran kerana akses kepada sumber air dapat membantu anggota bomba melaksanakan kerja pemadaman dengan lebih teratur,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kedudukan dan kebolehcapaian pili bomba perlu diberikan perhatian kerana kemudahan tersebut merupakan antara sumber air yang boleh digunakan dalam operasi pemadaman.
“Pemeriksaan seperti ini penting untuk membantu pihak bomba mengenal pasti keadaan kemudahan yang tersedia di sesuatu kawasan.
“Usaha pemantauan yang berterusan juga dapat menyokong kesiapsiagaan pasukan dalam memberikan perkhidmatan kecemasan kepada masyarakat,” katanya.
Oleh Earl Anek




