SARATOK, 27 Oktober: Polis berjaya menyelesaikan satu kes kecurian motosikal Yamaha 135LC selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dalam serbuan di sebuah ladang sawit di Ulu Awik, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai Inspektor Henry Muji hasil maklumat dan siasatan berkaitan laporan kehilangan motosikal yang diterima sebelum ini.
Menurut beliau, pengadu berusia 52 tahun, seorang buruh dari Krian telah meletakkan motosikal Yamaha 135LC miliknya yang mengalami kerosakan di perhentian bas Simpang Krian pada 29 September lalu.
“Bagaimanapun, pada keesokan harinya apabila pengadu datang untuk mengambil motosikal tersebut, dia mendapati kenderaan itu telah hilang sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil siasatan membawa kepada penahanan suspek yang didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine menerusi ujian air kencing.
Suspek juga mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan curi.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas rangka motosikal yang mempunyai nombor casis sepadan dengan motosikal yang dilaporkan hilang, selain tangki minyak, ekzos, set penutup motosikal serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk meleraikan motosikal berkenaan.
Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku mencuri motosikal tersebut bersama dua lagi rakannya pada malam 30 September lalu.
Motosikal itu dipercayai diangkat dan dimasukkan ke dalam bonet sebuah Perodua Axia sebelum dibawa ke sebuah rumah di Nanga Atoi, Awik.
Suspek turut mengaku menerima bayaran RM50 daripada salah seorang individu yang terlibat selepas motosikal itu disorokkan di rumah berkenaan.
Menurut DSP Mathew, salah seorang suspek lain telah ditahan lebih awal dan kini menjalani tahanan reman berkaitan kes ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, selain disiasat kerana terbabit dalam kes kecurian getah skrap di Ulu Awik, baru-baru ini.
“Kes dipercayai dilakukan pada waktu malam di kawasan perhentian bas Simpang Krian. Dengan tangkapan dan rampasan yang dibuat, kes ini berjaya diselesaikan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Oleh Adi Safarman





