LAWAS, 27 Oktober: Kawasan Hutan Simpan Kayangeran, Lawas, akan dijadikan hutan ameniti pertama di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata beliau telah meluluskan penetapan status itu bagi memperkukuh usaha kerajaan negeri dalam melaksanakan pembangunan yang memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

“Kawasan hutan ini meliputi 271.18 hektar dan penetapan status hutan ameniti bertujuan memberikan hala tuju yang jelas bagi pengurusan kawasan Kayangeran sebagai pusat pendidikan, penyelidikan, rekreasi dan pemuliharaan alam sekitar.
“Usaha ini juga selaras dengan pembangunan Kompleks Kayangeran serta perancangan pembangunan taman hutan bandar (Urban Forest Park) yang akan memperluas peluang masyarakat untuk mengenali dan menghargai khazanah hutan Sarawak,” ketika merasmikan Hari Terbuka dan Kompleks Kayangeran Heart of Borneo (HoB) di Lawas, baru-baru ini.

RASMI KOMPLEKS…Awang Tengah memberikan anyaman reben kepada wartawan selepas memotong reben simbolik perasmian kompleks Kayangeran HOB Lawas.
Beliau berharap penetapan status Hutan Ameniti Kayangeran sebagai inisiatif pertama seumpamanya di Sarawak dapat menjadi contoh pengurusan kawasan hutan yang mengimbangi keperluan pemuliharaan alam sekitar dengan manfaat kepada masyarakat.
“Kejayaannya bergantung pada perancangan yang teliti, pengurusan yang berkesan serta kerjasama berterusan semua pihak. Apa yang penting, penetapan status ini perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan program dan penyediaan kemudahan yang memberikan manfaat nyata kepada rakyat tanpa menjejaskan keunikan ekosistem di kawasan ini.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama memelihara kawasan ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Oleh Adeng Edrus




