MANCHESTER, England: Erik ten Hag mengecam pemain Manchester United selepas kesilapan Christian Eriksen menyaksikan mereka sekadar seri 1-1 dengan FC Twente dalam aksi pembukaan Liga Europa awal pagi tadi.
Rembatan padu Eriksen pada minit ke-35 membantu United mendahului namun pemain tengah Denmark itu menghadiahkan Twente gol penyamaan pada babak kedua di Old Trafford.
Sam Lammers merampas bola daripada Eriksen, yang cuba mengawal bola selepas satu serangan balas pantas, sebelum merembat melepasi Andre Onana pada minit ke-68.
Pengurus United, Ten Hag enggan menyalahkan Eriksen, sebaliknya menegaskan keseluruhan pasukan perlu bertanggungjawab kerana kegagalan mereka mempertahankan gol awal itu.
“Kami membolehkan mereka bernafas, mendahului 1-0, mengawal permainan anda perlu konsisten dan meneruskannya. Pada babak kedua prestasi kami merudum sedikit, melepaskan satu gol kepada lawan,” kata Ten Hag.
“Kami tidak menamatkannya, kami perlu mencari gol kedua jadi mereka kekal berpeluang dan kami dihukum susulan kesilapan diri sendiri.”
Ditekan mengenai kesilapan Eriksen, Ten Hag menambah: “Gol itu satu kesilapan sepasukan, seorang pemain Twente boleh menggelecek dari bawah tanpa dikekang. Kami tidak boleh memberikan gol sebegitu.
“Kami lihat sekali lagi anda perlu konsisten sepanjang perlawanan, sebaik mendahului 1-0 anda perlu teruskannya, cuba mencari gol kedua. Ia perlawanan pertama, amat penting anda mencatat kemenangan.”
Ten Hag menghabiskan sejumlah 23 tahun di Twente sepanjang tiga tempoh sebagai pemain dan kemudian sebagai jurulatih, berkata menjelang perlawanan itu: “Tidak bagus untuk melukakan sesuatu yang anda sayang.”
Selepas berakhir di tangga tercorot peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dengan hanya satu kemenangan musim lalu, ia satu lagi permulaan tidak bersemangat dalam kancah Eropah buat United. – AFP