KUCHING, 20 Oktober: Sarawak merekodkan 816 kes denggi sehingga 26 September 2026, meningkat 48.9 peratus berbanding 548 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, denggi kekal sebagai cabaran kesihatan awam yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.
Menurut beliau, sebanyak 62.6 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan tertumpu di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.
Beliau berkata, dua kematian akibat denggi turut direkodkan di Sarawak sepanjang tahun ini.
Walaupun jumlah kes pada 2025 lebih rendah berbanding 2024, peningkatan kes yang dikesan pada 2026 menunjukkan keperluan untuk mempergiat langkah pencegahan dan kawalan penyakit itu.
“Sehingga 26 September 2026, Sarawak merekodkan 816 kes denggi, meningkat 48.9 peratus berbanding 548 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Situasi ini membimbangkan dan memerlukan kerjasama berterusan semua pihak untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk serta mencegah penularan denggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan hari ketujuh Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.
Tambahnya, Jabatan Kesihatan dengan kerjasama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan terus melaksanakan pelbagai langkah kawalan, termasuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, pengurusan vektor bersepadu serta program promosi kesihatan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.
Oleh Norman B




