KUCHING: Festival ‘What About Kuching’ (WAK) kini menjadi platform yang amat berkesan dalam membantu golongan belia mempamer dan memupuk bakat mereka.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementeriannya terus komited menyokong inisiatif yang memberi impak positif kepada belia dan masyarakat, seperti WAK.
“Pengalaman yang diperoleh melalui festival ini mampu membuka peluang untuk berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.
“Sepanjang sebulan ini, mereka dapat mempersembahkan kemahiran mereka, dan daripada situ, mungkin mereka akan dapat melangkah lebih jauh dalam bidang masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis pengumuman kalender aktiviti WAK 2024 yang berlangsung di sini, semalam.
Festival WAK 2024 kini memasuki tahun keenam dan akan diadakan sepanjang Oktober dengan menyajikan lebih 60 acara berbeza.
Festival ini turut menyaksikan penyertaan 45 artis tempatan dan antarabangsa yang akan menyumbangkan lebih daripada 200 aktiviti di 38 lokasi berbeza di sekitar Kuching.
Oleh NICKELYSON LAKUN
Gambar
Abdul Karim pada majlis pengumuman kalender aktiviti WAK 2024 di Kuching malam tadi. Foto HERRIEY NAHA