PARIS: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, enggan memikirkan soal menggantung raket buat ketika ini sebaliknya tekad terus berjuang demi negara selagi kudratnya terdaya.
Liek Hou mengakui pencapaian mempertahankan emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) bukanlah satu pengakhiran buat kariernya kerana masih dahagakan kejayaan demi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Walaupun tidak boleh meramalkan peluang beraksi pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles (LA28) namun pemain berusia 36 tahun itu berkata mahu memberi tumpuan terlebih dahulu bersaing pada Sukan Para Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
“Masih ada empat tahun lagi sebelum ke Los Angeles 2028 dan saya pun tidak tahu apa akan terjadi kepada saya ketika itu… yang penting saya akan fokus tahun demi tahun menuju ke Sukan Para Asia 2026 di Jepun.
“Kejayaan menang emas di sini menandakan kondisi saya masih boleh tahan lagi, jadi saya mahu cipta lebih banyak rekod dan sejarah buat sukan badminton para selagi diri masih kuat,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Perlawanan akhir di Porte de La Chapelle Arena menyaksikan Liek Hou menepati ramalan apabila menghadiahkan pingat emas pertama negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan mengatasi wakil Indonesia Suryo Nugroho 21-13, 21-15 dalam masa 42 minit.
Mengulas mengenai permainan tadi, beliau berkata Suryo kadang kala terperangkap dengan tiupan angin dalam venue dan beliau memanfaatkan kesempatan tersebut lebih-lebih lagi menukar corak permainan kepada mod menyerang di penghujung set kedua untuk memastikan emas kekal berada di dalam genggamannya.
Ditanya erti pelukan diberikan kepada Nova Armada sejurus tamat perlawanan, Like Hou berkata bahawa jurulatih dari Indonesia itu banyak berada di sisinya tidak kira sewaktu senang mahupun susah.
“Jurulatih Nova faham karakter saya, dia tahu betapa saya susah dan bergelut dari dahulu sampai sekarang. Saya tidak mahu mengecewakan dia sebab itu kejayaan ini mahu dedikasikan kepadanya juga” katanya.
Dalam pada itu, pemain nombor satu dunia yang sangat gembira dengan pencapaian hari ini, mahu berehat seketika selepas melakukan pengorbanan besar meninggalkan keluarga khususnya isteri tercinta, Dewi Febriana, 31, demi mengejar impian mengekalkan emas di Paris 2024.
Justeru, beliau merancang untuk membawa isterinya balik ke kampung halaman di Medan, Indonesia selain melancong ke luar negara bagi meraikan kejayaan di Paris 2024 dan menghargai sokongan padu insan tercintanya selama ini.
Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan termasuk Menterinya Hannah Yeoh, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atas bantuan diberikan sebelum ini. – Bernama