KAPIT, 28 Oktober: Polis menemukan seorang bayi lelaki tertimbus dalam tanah berhampiran sebuah rumah sewa di Jalan Airport, di sini, petang semalam.
Bayi berkenaan ditemukan kira-kira 2.30 petang ketika polis menjalankan pencarian di lokasi kejadian, semalam.
Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Rohana Nanu berkata, anggota polis terdengar tangisan bayi sebelum menemukannya tertimbus dalam tanah.
Katanya, bayi berkenaan berada dalam keadaan kritikal dan akan dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Ketika menjalankan pencarian, pihak polis terdengar bunyi tangisan bayi sebelum menemukannya dalam keadaan tertimbus dalam tanah,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat kerana suspek yang dikenal pasti masih menjalani rawatan di hospital.
“Kes berkenaan masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.
Oleh Akun Giman





