SARATOK: Peningkatan jumlah populasi buaya di Sarawak sepanjang sembilan tahun lalu meningkatkan risiko berlakunya konflik antara manusia dengan reptilia berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata mengikut bancian yang dilakukan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mendapati, jumlah populasi reptilia itu meningkat hampir dua kali ganda daripada 13,500 ekor buaya pada 2014 kepada 25,000 ekor buaya pada 2023.
“Sarawak yang terkenal dengan keganasan buaya merupakan antara negeri paling banyak mencatat konflik antara buaya dengan manusia di negara ini.
“Ia berpunca daripada peningkatan populasi reptilia ganas itu, lantas menyebabkan berlakunya beberapa siri serangan terhadap manusia, dan pada masa sama, manusia juga memburunya.
“Malah ia bagaikan tiada kesudahan, dengan peningkatan kes demi kes yang membabitkan beberapa kawasan panas, sebagai lokasi kegemaran reptilia ganas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri mesyuarat jawatankuasa pengurusan konflik manusia dan buaya yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid.
Mohamad Duri berkata antara kes yang pernah dilaporkan kepada pihak SFC dan telah diambil tindakan iaitu kes serangan buaya tehadap seorang penduduk rumah panjang di Malong iaitu kira-kira enam kilometer (km) dari Pekan Saratok.
Katanya, mangsa telah disambar oleh reptilia di bahagian tangan semasa mencuci tangan di Sungai Malong, disusuli Ops Malong yang telah dilancarkan pada ketika itu.
“Dan kini pihak SFC akan memfokuskan kepada aduan penduduk yang sering melihat kelibat buaya besar yang dikenali sebagai ‘Bujang Pagan’ dekat Kampung Melango Saratok yang boleh mengancam nyawa penduduk yang tinggal berhampiran di kawasan itu,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN