DUN: RUU Mahkamah Bumiputera diharap dapat dibentang selepas PRN

Facebook
WhatsApp
DATO Sri John Sikie Tayai bercakap pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan bagi Jabatan Premier Sarawak pada sidang DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 19 Oktober: Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Bumiputera Sarawak yang masih dalam penelitian Jabatan Peguam Besar Negeri diharap dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, proses penelitian dan pengesahan draf perundangan berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ia dapat dibawa ke DUN.

“Kita berharap ia dapat dilaksanakan pada persidangan DUN akan datang kerana pada masa ini, draf berkenaan masih berada di Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak.

“Kita berharap segala proses penelitian dan sebarang masalah dapat diselesaikan sebelum persidangan DUN seterusnya selepas pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Untuk rekod, kerajaan Sarawak sebelum ini merancang penstrukturan semula Mahkamah Bumiputera melalui penggubalan undang-undang baharu bagi menggantikan Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah Bumiputera 1993.

Cadangan itu turut melibatkan penggubalan RUU Majlis Pelantikan Hakim Mahkamah Bumiputera dan Saraan Hakim Mahkamah Bumiputera bagi memperkemas urusan pelantikan serta skim perkhidmatan hakim.

Pada Mei 2025, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat memaklumkan bahawa penstrukturan tersebut akan merangkumi perubahan struktur pentadbiran dan bidang kuasa Mahkamah Bumiputera.

Beliau turut menjelaskan bahawa Ordinan Majlis Adat Istiadat Sarawak 1977 perlu dipinda sebagai sebahagian daripada usaha menyelaraskan sistem perundangan adat Bumiputera di negeri ini.

Cadangan penstrukturan itu berpandukan Pelan Induk Transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak yang hasil kajiannya telah dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Julai 2023 dan mendapat kelulusan dasar.

Pada 8 Oktober lalu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut memaklumkan bahawa RUU baharu sedang dirangka bagi menyusun semula pentadbiran dan bidang kuasa Mahkamah Bumiputera.

Menurutnya, cadangan perundangan itu juga merangkumi pelantikan pegawai berkelayakan undang-undang sebagai Majistret dan hakim sepenuh masa, selain memberi kesan kepada peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum yang kini mengendalikan prosiding mahkamah adat di peringkat komuniti.

Oleh Masrin Affirah