PETRA JAYA, 19 Oktober: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan keseluruhan RM469.1 juta bagi meneruskan bantuan diskaun 25 peratus untuk bil elektrik domestik sehingga akhir 2027, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 716,000 pengguna.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, bantuan khas itu diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.
Bagi tempoh April hingga Disember 2026, sebanyak RM188.1 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan diskaun berkenaan.

Bantuan itu akan diteruskan pada 2027 dengan peruntukan RM281 juta, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi tempoh berkenaan sebanyak RM469.1 juta.
Selain bantuan diskaun bil elektrik, kerajaan Sarawak turut meneruskan subsidi bekalan air percuma pada 2027, bersamaan RM5 sebulan atau 11,300 liter air, dengan peruntukan RM35 juta yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 pengguna domestik.
Julaihi berkata, subsidi bekalan air itu melibatkan perbelanjaan terkumpul sebanyak RM210.4 juta dari 2020 hingga Ogos 2026. Jumlah itu diunjurkan meningkat kepada RM222.7 juta menjelang akhir tahun ini.
Oleh Shikin Mahmud




