PETRA JAYA, 19 Oktober: Pusat Buruh Imigresen (ILC) di Miri dijangka mula beroperasi pada awal 2027 bagi memudahkan urusan berkaitan pengurusan dan permohonan pekerja asing di kawasan utara Sarawak.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, pembukaan pusat berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperluas perkhidmatan imigresen dan buruh ke beberapa kawasan utama di Sarawak.
“Dua pusat ILC telah mula beroperasi, masing-masing di Kuching pada awal 2026 dan Sibu pada September tahun ini.
“Pusat Buruh Imigresen Miri dijangka beroperasi pada awal 2027, manakala pusat di Bintulu dan Mukah dirancang mula beroperasi pada akhir tahun yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Jabatan Premier Sarawak pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau mengulas lanjut, penyediaan pusat tersebut bertujuan memudahkan majikan mendapatkan perkhidmatan dan bantuan berkaitan permohonan pekerja asing.
Tambahnya, kemudahan itu juga membolehkan majikan mendapatkan bantuan secara langsung sekiranya menghadapi masalah berkaitan akses kepada akaun permohonan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendedahkan sekurang-kurangnya empat kes melibatkan pihak perantara yang lewat memaklumkan kelulusan permit pekerja asing kepada majikan.
“Terdapat kes apabila majikan dimaklumkan bahawa permohonan masih dalam proses, sedangkan kelulusan telah diberikan dan dimaklumkan sehingga sebulan lebih awal.
“Sehubungan itu, majikan dinasihati supaya mengekalkan kawalan terhadap akaun permohonan pekerja asing masing-masing bagi mengelakkan masalah berkaitan pengurusan dan penyampaian maklumat.
“Majikan yang menghadapi masalah akses akaun boleh mendapatkan bantuan daripada Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU) atau Pusat Buruh Imigresen berhampiran,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah





