MADRID: Pemain tengah kebangsaan Sepanyol, Thiago Alcantara mengumumkan persaraannya semalam pada usia 33 tahun menerusi hantaran di media sosialnya.
“Terima kasih, bola sepak. Serta kepada semua yang menemani saya dan menjadikan saya seorang pemain dan individu yang bagus sepanjang perjalanan ini,” tulisnya di laman X.
Liverpool melepaskan Thiago apabila kontraknya tamat hujung musim lalu.
“Secara teknikal, dia seorang yang bagus, terlalu bagus,” kata pengurus ketika itu Jurgen Klopp apabila keputusan diumumkan.
“Seorang pemain berbakat yang boleh beraksi dalam mana-mana pasukan di dunia dan satu keistimewaan untuk memilikinya bersama kami.
“Kecederaan sering mengecewakannya begitu juga buat kami tetapi tahap yang mampu dimainkannya bila mana dia boleh beraksi amat luar biasa.”
Dia dilahirkan di Itali, yang mana bapanya, Mazinho, adalah anggota skuad Brazil yang memenangi Piala Dunia 1994, beraksi dengan Lecce. Adik Thiago, Rafinha, pemain kebangsaan Brazil kelahiran Barcelona, beraksi di Arab Saudi.
Thiago memulakan karier seniornya bersama Barcelona pada 2009, yang mana antara trofi dimenangi termasuk empat kejuaraan La Liga, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab 2011.
Dia kemudian menghabiskan tujuh tahun di Bayern Munich memenangi Bundesliga setiap musim. Trofi kejuaraannya di Munich termasuk Piala Dunia Kelab 2013 dan Liga Juara-Juara 2020.
Selama empat tahun bersama Liverpool, dia memenangi Piala FA dan layak ke Liga Juara-Juara kali ketiga.
Thiago menang kejuaraan B-17 dan B-20 bersama Sepanyol dan meraih 46 cap senior antara 2011 dan 2021 tetapi terlepas kejayaan memenangi Euro 2012 kerana kecederaan belakang.
“Saya sentiasa bersedia untuk membalas semula apa yang dianugerahkan kepada saya dan saya amat bersyukur menikmati saat-saat indah itu,” katanya dalam hantaran di X. – AFP