KUCHING, 19 Oktober: Seorang lelaki berusia 57 tahun meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah di jalan raya sejurus memberhentikan motosikalnya di Jalan Bayor Bukit, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar 8.00 pagi pada hari berkenaan.
Siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal dari rumahnya di Tabuan Jaya menuju ke tempat kerja di Terminal Bas Kuching kira-kira 7.30 pagi ketika kejadian berlaku.
Setibanya di Jalan Bayor Bukit, mangsa memberhentikan motosikalnya di bahu kiri jalan sebelum tiba-tiba rebah.
Petugas perubatan dari Hospital Umum Sarawak yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Alexson berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik, Insp Tamimi Majni, menerusi talian 017-2046414 atau 082-259900, atau mengunjungi balai polis berhampiran.




