USAHA memulakan semula Liga Perdana Inggeris mendapat dorongan semalam dengan ia dinyatakan bahawa hanya seorang yang tidak diumumkan namanya di Tottenham merupakan satu-satunya yang diuji positif Covid-19 daripada 1,197 pemeriksaan pusingan terakhir.
Tottenham mengesahkan individu yang positif itu berasal dari kelab utara London itu, tetapi tidak mengatakan sama ada ia pemain atau anggota kakitangannya.
Orang itu sekarang mesti mengasingkan diri selama tujuh hari.
“Kami telah diberitahu oleh Liga Perdana bahawa kami telah menerima satu ujian positif untuk COVID-19 berikutan ujian terakhir di pusat latihan kami,” kata Tottenham dalam satu kenyataan.
“Kerana kerahsiaan perubatan, nama individu tersebut tidak akan didedahkan.
“Mereka kini tidak simptomatik dan sekarang akan mengasingkan diri selama tujuh hari, sesuai dengan protokol Liga Perdana, sebelum menjalani ujian lebih lanjut.
“Kami akan terus mematuhi protokol Kembali Menjalani Latihan Liga Perdana, yang memastikan pusat latihan kami tetap menjadi tempat kerja yang selamat dan bebas virus.”
Pemain dan kakitangan di kelab Liga Perdana diuji pada hari Isnin dan Selasa.
Jumlah positif yang rendah merupakan satu lagi tanda yang menggembirakan untuk Liga Perdana dalam usaha mereka untuk menyelesaikan kempen yang tertangguh.
Terdapat lima pusingan ujian, dengan jumlah keputusan positif sekarang pada 13 daripada 5,079 ujian.
Pemain dan kakitangan Liga Perdana diuji dua kali seminggu kerana liga mensasar untuk disambung semula pada 17 Jun berikutan penangguhannya pada bulan Mac kerana wabak tersebut.
“Liga Perdana Inggeris hari ini dapat mengesahkan bahawa pada hari Isnin 1 Jun dan Selasa 2 Jun, 1,197 pemain dan kakitangan kelab telah diuji untuk Covid-19. Daripada jumlah tersebut, satu telah diuji positif,” kata kenyataan Liga Perdana.
Walaupun keputusan ujian rendah amat dialu-alukan, jika ianya pemain Tottenham yang diuji positif, dia boleh terlepas perlawanan pertama kelab menentang Manchester United, kemungkinan akan dimainkan pada hujung minggu 20-21 Jun. – AFP
LIGA PERDANA INGGERIS