Lam gesa Pay&Go perkemas notifikasi pembayaran parkir

Facebook
WhatsApp
SETIAUSAHA DAPSY Sarawak, George Lam

KUCHING, 28 Oktober: Pengenalan notifikasi pembayaran parkir masa nyata boleh membantu mengurangkan pertikaian caj, mengelakkan saman yang dipertikaikan serta meningkatkan ketelusan sistem parkir di bandar raya ini.

Setiausaha DAPSY Sarawak, George Lam berkata, notifikasi yang memaparkan masa, lokasi dan jumlah bayaran setiap kali transaksi dibuat penting bagi membolehkan pengguna menyemak rekod pembayaran dengan segera.

Menurutnya, beliau terus menerima aduan daripada pengguna yang mendakwa dikenakan saman secara tidak wajar, tidak menerima notifikasi tepat pada masanya atau menghadapi kesukaran menyemak transaksi serta tunggakan bayaran parkir.

“Permintaan saya mudah, Pay&Go perlu menghantar notifikasi serta-merta setiap kali bayaran parkir ditolak, dengan menyatakan masa, lokasi dan jumlah yang dikenakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggesa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Pay&Go menambah baik sistem pembayaran parkir sedia ada supaya lebih telus, boleh dipercayai dan mesra pengguna.

Gesaan itu menyusul pengumuman Pay&Go bahawa kemudahan pendahuluan bayaran parkir akan dihentikan bagi pengguna yang mempunyai tunggakan melebihi sebulan, manakala pengguna yang melanggar peraturan parkir akan dikenakan denda RM5.

Lam berkata, walaupun penguatkuasaan peraturan parkir perlu diteruskan, sistem yang digunakan hendaklah mengambil kira keadaan sebenar dan memastikan pengguna mempunyai akses mudah kepada maklumat transaksi.

APLIKASI Pay&Go.

Beliau turut membangkitkan satu aduan di media sosial baru-baru ini mengenai sebuah kenderaan yang didakwa menerima notis parkir lebih masa ketika berada di premis mencuci kereta untuk tujuan pembersihan, selepas sebuah motosikal Pay&Go dilaporkan mengimbas kenderaan berkenaan.

“Perkara ini menimbulkan persoalan tentang cara sistem mengenal pasti situasi parkir dan sama ada keadaan tertentu diambil kira dengan sewajarnya,” katanya.

Lam turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengguna warga emas yang bergantung pada bantuan anak-anak untuk mendaftar di bawah Program Pembayaran Mudah Warga Emas kerana mereka mungkin menghadapi kesukaran memantau transaksi melalui aplikasi mudah alih.

Katanya, kelewatan notifikasi boleh menyebabkan pengguna hanya menyedari tunggakan atau potongan wang selepas suatu tempoh, sekali gus menyukarkan mereka mengingati butiran kejadian dan menyediakan bukti ketika mengemukakan rayuan.

Sehubungan itu, beliau menggesa MBKS dan Pay&Go mengkaji semula serta menaik taraf sistem pembayaran parkir bagi memastikan setiap transaksi direkodkan dengan tepat dan mudah diakses.

“Sistem pembayaran parkir bukan sahaja perlu memudahkan penguatkuasaan, malah melindungi hak orang awam melalui keadilan dan ketelusan. Notifikasi masa nyata boleh mengurangkan aduan, mengelakkan pertikaian yang tidak perlu dan menjadikan sistem lebih cekap serta mesra pengguna,” katanya.

Oleh Connie Chieng