PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp tidak sabar untuk bola sepak Inggeris disambung semula setelah diberhentikan selama tiga bulan kerana wabak Covid-19 dan berjanji akan merayakan gelaran Liga Perdana Inggeris dengan penuh bergaya.
Liverpool hanya memerlukan dua kemenangan untuk meraih gelaran liga pertama mereka dalam tempoh 30 tahun.
The Reds unggul dengan kelebihan 25 mata ke atas Manchester City ketika perlawanan dihentikan pada Mac lalu.
Bahkan skuad Klopp mampu merangkul gelaran dengan kemenangan dalam perlawanan pertama seandainya City tewas kepada Arsenal dalam satu daripada dua perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 17 Jun sebelum pusingan pertama perlawanan akhir minggu berikutnya.
“Saya sangat merindukannya,” kata Klopp kepada BBC.
“Saya tahu ia bukan perkara yang paling penting dalam hidup tetapi ia adalah semangat saya. Saya berharap semua penyokong menantikannya nanti,” ujarnya.
Setelah sekian lama menunggu untuk memenangi gelaan Liga Perdana, Liverpool berdepan dengan anti-klimaks apabila melakukannya di depan tempat duduk kosong dengan baki semua 92 perlawanan liga yang akan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton.
Setahun yang lalu hingga hari ini, puluhan ribu peminat membanjiri jalan-jalan di sekitar Liverpool untuk meraikan kemenangan Piala Eropah keenam mereka.
Klopp menegaskan akan ada perarakan untuk meraikan gelaran it, walaupun sudah beberapa bulan selepas liga dimenangi.
“Sekiranya kita menjadi juara, apa sahaja perayaan yang mungkin dilakukan, kita akan melakukan secara berpasukan dan dengan semua penyokong kita pada masa dibenarkan untuk melakukannya lagi,” tambahnya.
“Saya berjanji bahawa jika ia berlaku akan ada perarakan juga. Bila sahaja. Siapa yang peduli. Kami hanya memerlukan satu hari apabila semua orang dapat datang dan kemudian kami akan melakukannya,” katanya lagi.
Anak-anak buah Klopp juga sudah cukup baik untuk memecah rekod jumlah mata dalam Liga Perdana Inggeris yang dicipta oleh Manchester City yang mencatat 100 dua musim lalu.
Liverpool meraih 82 mata dengan 27 masih menjadi pertaruhan dan Klopp tidak mahu melihat penurunan di peringkat akhir kempen.
“Senang untuk memikirkannya tetapi kami belum menjadi juara lagi dan kami tahu akan perkara itu. Masih ada 27 mata untuk kami dan pemain akan mencuba segala-galanya untuk meraih kesemuanya.
“Kami masih bukan juara dan mesti memenanginya. Ini kerana kami tidak mahu berhenti menang setelah dua perlawanan atau apa pun. Saya tidak melihat keputusan ditulis di bintang-bintang,” tambahnya lagi. – AFP