Saratok mampu jadi destinasi penganjuran acara sukan utama – Mohamad Duri

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri pada Majlis Pelancaran Peringkat Separuh Akhir Saratok Kampung Cup 2026 di Dewan SJKC Min Syn Saratok, semalam. Foto Pusat Khidmat DUN Kalaka

SARATOK, 22 November: Kejohanan Bola Keranjang Terbuka Saratok Kampung Cup 2026 membuktikan Daerah Saratok berkemampuan menjadi tuan rumah acara sukan berskala besar yang mampu menarik penyertaan pasukan dari pelbagai bahagian di seluruh Sarawak.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, kejohanan itu memperlihatkan keupayaan masyarakat setempat, khususnya golongan anak muda, dalam menggerakkan penganjuran acara sukan yang berkualiti dan berimpak kepada komuniti.

Menurutnya, kejohanan tersebut berjaya menarik penyertaan pasukan dari Kuching, Sibu, Sarikei, Betong, Bintulu, Miri dan Sri Aman, selain pasukan tempatan dari Saratok.

Beliau berkata, kejayaan menghimpunkan pasukan dari pelbagai bahagian merupakan satu pencapaian membanggakan memandangkan Saratok bukan sebuah bandar utama seperti Kuching, Sibu, Miri atau Bintulu yang lazimnya menjadi lokasi penganjuran kejohanan berskala besar.

“Ini membuktikan bahawa dengan inisiatif, kerjasama serta komitmen yang bersungguh-sungguh, sebuah daerah kecil juga mampu menganjurkan acara sukan yang besar dan bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Peringkat Separuh Akhir Saratok Kampung Cup 2026 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syn Saratok, semalam.

Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Saratok, Kapitan Gan Eng Kie, atas kepercayaan yang diberikan kepada golongan anak muda untuk mengambil inisiatif dan memainkan peranan dalam menjayakan kejohanan berkenaan.

Beliau menyifatkan penglibatan anak muda dalam penganjuran itu sebagai contoh positif semangat kesukarelawanan, kepimpinan dan tanggungjawab terhadap pembangunan komuniti.

Katanya, kerjasama JKKK Pekan Saratok dan Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan N38 Kalaka sebagai penganjur bersama turut menjadi faktor penting dalam memastikan kejohanan tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan sokongan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Saratok Kampung Cup dapat dijadikan acara sukan tahunan yang berterusan serta menarik lebih banyak penyertaan pada masa hadapan.

Malah, beliau berharap perkembangan positif kejohanan itu dapat membuka peluang mendapatkan sokongan kerajaan bagi menyediakan kemudahan sukan yang lebih baik, termasuk gelanggang dan peralatan yang lebih lengkap untuk kegunaan masyarakat.

“Sebagai contoh, Saratok kini juga sedang dalam persiapan ke arah pembangunan sebuah Mini Stadium. Ini menunjukkan bahawa usaha untuk meningkatkan kemudahan dan infrastruktur sukan di daerah kita sedang diberi perhatian,” katanya.

Beliau menegaskan pembangunan Saratok memerlukan kerjasama semua pihak, dengan masyarakat terus memainkan peranan menganjurkan program berkualiti, manakala beliau akan berusaha membawa suara serta keperluan penduduk ke peringkat sewajarnya.

Selain mencungkil bakat baharu dalam sukan bola keranjang, Mohamad Duri berkata, kejohanan itu turut berpotensi memperkenalkan Saratok kepada masyarakat luar serta merancakkan aktiviti ekonomi tempatan menerusi kehadiran pemain, penyokong dan pengunjung dari pelbagai bahagian.

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang mara ke peringkat separuh akhir agar memberikan persembahan terbaik, mengekalkan semangat kesukanan dan saling menghormati sepanjang pertandingan.

Beliau berharap Saratok Kampung Cup terus berkembang menjadi acara sukan tahunan yang dinanti-nantikan serta kebanggaan masyarakat Saratok.

Oleh Adi Safarman