Pearly-Thinaah lengkapkan kejayaan berganda Malaysia di Terbuka Hong Kong

Facebook
WhatsApp
PEARLY Tan dan M. Thinaah menewaskan pasangan Jepun, Sumire Nakade dan Miyu Takahashi, 22-20, 21-16 untuk merangkul gelaran beregu wanita Terbuka Hong Kong, menyusuli kejayaan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun dalam acara beregu lelaki. Foto Facebook Badminton Association Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 November: Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah melengkapkan kejayaan berganda Malaysia pada Terbuka Hong Kong selepas menjuarai acara beregu wanita, menyusuli kejayaan pasangan lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, pada aksi final hari ini.

Pasangan ranking keempat dunia itu mengulangi kejayaan yang diraih di bumi Hong Kong dua tahun lalu apabila menewaskan gandingan Jepun di ranking ke-11 dunia Sumire Nakade-Miyu Takahashi, 22-20, 21-16, sekali gus merangkul gelaran Jelajah Dunia ketiga mereka musim ini.

Kemenangan di Arena Kai Tak itu turut menjadi detik manis buat Pearly-Thinaah apabila berjaya membalas kekalahan kepada pasangan sama pada final Terbuka Taiwan, Ogos lepas.

Sebelum ini, Pearly-Thinaah turut muncul juara Indonesia Masters berstatus Super 500 pada Januari dan Terbuka Denmark berstatus Super 750 bulan lepas.

Kejayaan pasangan itu melengkapkan hari gemilang badminton negara selepas Wei Chong-Kai Wun terlebih dahulu menamatkan penantian 27 tahun Malaysia untuk kembali merangkul gelaran beregu lelaki Terbuka Hong Kong.

Wei Chong-Kai Wun menewaskan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, 21-19, 21-18, untuk memastikan gelaran beregu lelaki menjadi milik Malaysia.

Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$39,500 (RM162,500) atas kejayaan itu, manakala Nakade-Takahashi menerima AS$19,000 (RM78,200) selaku naib juara.- Bernama