KUALA LUMPUR, 22 November: Penantian 27 tahun Malaysia untuk kembali merangkul gelaran beregu lelaki Terbuka Hong Kong akhirnya berakhir selepas Man Wei Chong-Tee Kai Wun menewaskan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, pada aksi final hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun mengulangi pencapaian Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock yang kali terakhir menghadiahkan gelaran berkenaan kepada Malaysia pada edisi 1999.
Lebih manis, kejayaan di Hong Kong itu hadir selepas gandingan negara berkenaan muncul juara Terbuka Perancis bulan lepas, sekali gus meneruskan momentum cemerlang mereka di pentas antarabangsa.
Pada aksi final hari ini, beregu pilihan kelapan itu hanya memerlukan 39 minit untuk menundukkan lawan menerusi kemenangan dua set berturut-turut 21-19, 21-18, sekali gus menambah koleksi kejuaraan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mereka kepada lapan.
Set pertama menyaksikan Wei Chong-Kai Wun berdepan tentangan sengit sebelum berjaya menguasai permainan untuk mendahului 17-13.
Bagaimanapun, Leo-Daniel enggan mengalah apabila bangkit memperkemas permainan untuk merapatkan jurang kepada 19-20, namun beregu negara berjaya menyerap tekanan bagi memastikan kemenangan 21-19.
Memasuki set kedua, Wei Chong-Kai Wun tampil lebih meyakinkan apabila terus memberikan tekanan kepada lawan sehingga mendahului 11-3 ketika rehat interval.
Meskipun pasangan Indonesia cuba bangkit memberikan tentangan, Wei Chong-Kai Wun berjaya mengekalkan momentum untuk menoktahkan kemenangan 21-18, sekali gus mengesahkan kejuaraan milik mereka.
Kejayaan itu turut menyaksikan Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai AS$39,500 (RM162,500), manakala Leo-Daniel menerima AS$19,000 (RM78,200) selaku naib juara.- Bernama




