LIMBANG: Seorang kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dari Sarikei yang ditugaskan sementara untuk kerja penyukatan tanah di Limbang telah berjaya ditemui selamat selepas sesat di hutan Makasing Jalan Nanga Medamit Limbang.
Mangsa, Aziz Julaihi, 43, ditemui selamat pada 7.30 malam tadi oleh rakan mangsa dan penduduk kampung yang terlibat dalam operasi pencarian.
Pegawai Operasi Zon Tujuh Limbang Clarence D.Primus Tiandun berkata , mangsa dilaporkan hilang pada 3.00 petang dan laporan kehilangannya dibuat kira-kira 6.00 petang sebelum ditemui.
“Kehilangan mangsa hanya disedari rakan-rakannya ketika hendak keluar hutan dan mangsa sempat memaklumkan yang dia sesat kepada rakan-rakannnya melalui aplikasi WhatsApp,” katanya kepada media hari ini.
Mangsa yang berjaya ditemui dibawa keluar dari hutan terus ke Rumah Luta Makasing.
Turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ialah bomba, anggota polis, kakitangan JTS dan penduduk kampung.
Oleh ADENG EDRUS