SIMUNJAN: Sejumlah lebih RM1.2 juta telah diluluskan di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) untuk empat projek di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, projek itu melibatkan tujuh kampung dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Samarahan.
Katanya, kampung yang terlibat dengan projek tersebut adalah Kampung Terasi, Kampung Empelas, Kampung Simunjan Jaya, Kampung Tanjung Harapan, Kampung Tanjung Pisang, Kampung Sedilo dan Kampung Sungai Lingkau.
“Antara projek tersebut ialah cadangan membina jalan di Kampung Terasi di mana ia merupakan jalan ke ladang bagi penduduk kampung tersebut.
“Jalan yang mempunyai dua elemen itu adalah sepanjang 270 meter dengan nilai projek RM275,625.31 termasuk pembinaan pembetung (culvert) di jalan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa turun padang meninjau tapak projek tersebut dan menyaksikan penyerahan projek-projek berkenaan kepada kontraktor-kontraktor yang terpilih melalui tender terbuka pada Selasa.
Tambah Awla, seterusnya adalah projek cadangan membina titian belian di Kampung Empelas, Kampung Simunjan Jaya, Kampung Tanjung Harapan dan Kampung Tanjung Pisang.
Ujar beliau, nilai projek bagi semua titian belian di empat buah kampung tersebut adalah sebanyak RM250,487.64.
“Manakala projek yang ketiga adalah cadangan membina jambatan konkrit ke kebun nanas Sedilo yang memakan belanja sebanyak RM374,194 sepanjang 12 meter dan lebar 4.5 meter.
“Projek yang terakhir pula adalah cadangan membina jambatan konkrit menyeberangi Sungai Lubuk Jerin Kampung Sungai Lingkau juga sepanjang 12 meter dan lebarnya 4.5 meter bernilai RM335,168,” jelasnya.
Dalam masa yang sama Awla turut mengingatkan para kontraktor agar projek-projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan bagi memberi kemudahan kepada penduduk kampung yang terlibat.
Oleh NICKELYSON LAKUN