KUCHING: Salah seorang wakil kerajaan dalam Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu berundur untuk memberi laluan kepada wakil Sarawak, kata Dato Sri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ahli lembaga itu akan dilantik semula menjadi Lembaga Pengarah sebaik sahaja Akta LHDN 1995, dibentang dan diluluskan Dewan Undangan Negeri.
Katanya, LHDN mempunyai komposisi tiga wakil kerajaan dan bukan kerajaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan dan cukai.
“Sepatutnya, kita perlu membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta LHDN 1995 di Parlimen penggal ini.
“Bagaimanapun, semasa mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk melantik terus Setiausaha Kewangan Sarawak (Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar) ke dalam Lembaga Pengarah LHDN.
“Ini bermakna salah seorang ahli Lembaga Pengarah mewakili Kementerian Kewangan (MOF) perlu meletakkan jawatan dan kami akan melantik semula wakil MOF kembali ke dalam Lembaga Pengarah selepas Akta LHDN dibentangkan dan diluluskan Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program penyampaian sumbangan kepada komuniti Tiong Hua iaitu warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) kawasan Sungai Tengah Matang, di sini hari ini.
Fadillah yang juga bertanggungjawab memudahkan rundingan MA63, turut mengulas mengenai pemberian khas tahunan kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D di mana Sabah dan Sarawak akan menerima RM260 juta dan RM300 juta setahun.
Katanua, sebelum ini Sabah dan Sarawak masing-masing hanya menerima RM25 juta dan RM16 juta setahun.
“Di bawah (perjanjian) Jawatankuasa Antara Kerajaan
(IGC), pemberian khas itu mesti disemak setiap tahun. Tetapi ini tidak berlaku pada masa lalu.
“Sabah sebenarnya telah mengadakan rundingan dengan pihak Kerajaan Persekutuan ‘Keluarga Malaysia’ (di bawah Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri Yaakob) di mana mereka telah bersetuju untuk sementara (pada jumlah tertentu) tetapi Sarawak tidak bersetuju kecuali ada formula.
“Oleh itu, selepas mesyuarat (semalam), kita telah mencapai kata sepakat mengenai
pemberian khas walaupun formulanya masih belum dimuktamadkan. Kami akan memuktamadkannya dan dengan ini, kami berharap mendapat justifikasi yang jelas mengenai peruntukan tahunan itu,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Keterangan gambar
Fadillah Yusof pada program penyampaian sumbangan kepada komuniti Tiong Hua iaitu warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) kawasan Sungai Tengah Matang, Kuching hari ini.