Len Talif terbuka terima keputusan pencalonan, sedia terus berkhidmat jika diberi peluang

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh ditemubual media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Advokasi Perundangan (Akta Keganasan Rumah Tangga 1994) di Dewan Serbaguna, Tingkat 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei.

SARIKEI, 24 Oktober: Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh bersedia menerima sebarang keputusan kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berhubung pencalonannya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

Len Talif, yang telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang selama tiga penggal, berkata beliau akan menerima keputusan sama ada dicalonkan semula atau memberi laluan kepada individu lain dengan hati terbuka demi kesinambungan kepimpinan di kawasan tersebut.

Menurutnya, peralihan dan penggantian kepimpinan bukan perkara baharu dalam PBB kerana proses itu telah lama diamalkan setiap kali pilihan raya bagi memastikan kelangsungan kepimpinan parti.

“Kalau perjalanan politik saya berakhir di sini, itu akan saya terima secara terbuka. Tapi kalau diberi peluang, memang saya akan terima juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Advokasi Perundangan (Akta Keganasan Rumah Tangga 1994) di Dewan Serbaguna, Tingkat 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.

Len Talif berkata, peluang berkhidmat sebagai wakil rakyat selama tiga penggal merupakan satu penghormatan besar, khususnya kerana diberi kepercayaan untuk merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan bagi masyarakat Kuala Rajang.

Tambahnya, sekiranya diberi peluang untuk meneruskan perkhidmatan, masih banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi memastikan perancangan pembangunan yang dirangka sepanjang 15 tahun berkhidmat di kawasan itu dapat direalisasikan.

Beliau turut berharap agar individu yang mengambil alih kepimpinan Kuala Rajang pada masa hadapan dapat meneruskan perancangan sedia ada, selain melakukan penambahbaikan bagi memastikan manfaat pembangunan terus dinikmati masyarakat setempat.

Mengulas kenyataan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung pemilihan calon, Len Talif berkata, mereka yang tidak terpilih untuk bertanding perlu menghormati keputusan kepimpinan dan menerimanya dengan hati terbuka.

Katanya, prinsip itu selaras dengan amalan PBB yang memberi ruang kepada pembaharuan kepimpinan, di samping memastikan kesinambungan pentadbiran serta menghargai sumbangan mereka yang telah lama berkhidmat.

“Secara peribadi, saya mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak kerana telah memberi saya peluang dan sekiranya beliau mempunyai calon yang lebih baik atau untuk membuat kesinambungan kepimpinan di kawasan ini, saya akan terima secara terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, Len Talif berharap agar kesinambungan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus diperkukuh bagi memastikan perancangan pembangunan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi yang telah dirangka dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.

Beliau turut mengingatkan pengundi Kuala Rajang dan masyarakat Sarawak secara keseluruhan tentang pentingnya kesinambungan kepimpinan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan yang sedang dirancang berjalan lancar.

Terdahulu, Abang Johari mengumumkan bahawa DUN Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa Isnin ini bagi membuka laluan kepada PRN Sarawak Ke-13. Beliau turut mengesahkan bahawa GPS akan mengetengahkan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu.

Bagaimanapun, senarai calon GPS masih belum dimuktamadkan dan akan diputuskan menerusi mesyuarat kepimpinan gabungan itu sebelum diumumkan secara rasmi.

Oleh Earl Anek