Jerebu kembali lagi, Serian catat IPU tertinggi di Sarawak

Facebook
WhatsApp
JEREBU menyelubungi kawasan di Sarawak susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan, dengan Serian mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 160 pada 24 Oktober.

KUCHING, 24 Oktober: Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak iaitu 160, sekali gus berada pada tahap tidak sihat, menurut Sistem Pengurusan Kualiti Alam Sekitar Malaysia (MyEQMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Selain Serian, Sri Aman mencatatkan bacaan IPU 157, diikuti Kuching (155), Kapit (153) dan Samarahan (153), yang turut berada pada tahap tidak sihat.

Sementara itu, beberapa kawasan lain di Sarawak merekodkan bacaan pada tahap sederhana, termasuk Sibu (88), Bintulu (87), Samalaju (85), Limbang (80), Sarikei (78), Mukah (77), Miri (76) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (67).

Berdasarkan klasifikasi IPU, bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan antara 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.

Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesan pencemaran udara terhadap kesihatan.