ENAM daripada senarai 27 timbalan menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya malam ini adalah dari Sarawak.
Daripada enam lantikan itu, empat adalah muka baharu, antaranya Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Beliau mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Juga muka baharu ialah Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong yang mewakili Parti Rakyat Sarawak (PRS) dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii, 53, yang berjaya merampas kerusi itu daripada gengaman dua penggal DAP pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Beliau mewakili Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).
Muka baharu yang turut dilantik ialah Ahli Parlimen paling muda dari Sarawak, Lukanisman Awang Sauni, 40, (Sibuti) sebagai Timbalan Menteri Kesihatan. Beliau mewakili PBB.
Dua lagi dilantik semula sebagai timbalan menteri ialah Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Taib sebagai Timbalan Menteri Ekonomi dan Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibullah sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan.
Kedua-duanya mewakili PBB.
Hanya Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong (PBB) yang sebelum ini Timbalan Menteri Pengangkutan, tidak dilantik semula.
Seorang lagi timbalan menteri sebelum ini ialah Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang (PRS).
Bagaimanapun, Aaron sudah dinaikkan pangkat sebagai Menteri Perpaduan Negara.
Jumlah enam menteri dari Sarawak adalah sama seperti dalam kerajaan terdahulu, tetapi bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) ia bertambah dua.
Enam timbalan menteri dalam kerajaan terdahulu adalah termasuk Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin.
Bagaimanapun, Ali Biju dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
PN yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin kini adalah parti pembangkang.
Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-14 2018.
Bagaimanapun, Willie meninggalkan PKR melalui ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020 sebelum bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada 6 Ogos lalu, PBB meluluskan permohonan Willie untuk menyertai parti itu tetapi tanpa sebarang komitmen, dan dipilih untuk bertanding atas tiket GPS-PBB baru-baru ini. Beliau menang.
Oleh Kadir Dikoh